Puisi Moden

Puisi Moden KOMSAS

Puisi Moden Tingkatan 1

Kita Umpama Sehelai Daun

kita umpama sehelai daun
bertunas segar di hujung ranting
lalu melebar dan merimbun
tempat bercanda unggas meriang
di bawah redup bebayang mentari

andai kikir jasa dan bakti
di mana lagi tempat bernaung
dari tusukan bahang memijar
unggas kecil tidak berkudrat

kita umpama sehelai daun
bakal kering sampai waktunya
usahlah angkuh keupayaan diri
sehingga lupa mahkluk duafa
ingin bernaung mencari hidup

jadilah sehelai daun
hijau menunas menyegar mata
kering gugur menjadi baja

SMahadzir
Kita Umpama Sehelai Daun, 2007
Pekan Ilmu Publications Sdn. Bhd.

Kuingin Berterima Kasih

Sesekali kuingin berterima kasih
kepadamu hujan bagai tetamu
jiwa pun menjadi dingin
api amarah pun terpadam.

Sesekali kungin menyemai budi
kepadamu tanah yang hidup
kerana perutmu setia menghamilkan
rezeki buat petani.

Sesekali kuingin berbisik kepadamu
ikan-ikan yang riang
liar di belantara samudera
kerana sudi membebaskan derita
nelayan tua di pondoknya.

Sesekali kuingin kalungkan kagum
kepadamu pejuang negara
kerana tanganmu pernah berdarah
darah kesetiaan seorang warga
kepada watan tercintanya.

Sesekali kuingin pula menjadi bunga
menebarkan keharuman
di taman-taman keresahan hidup
menyerahkan keinsafan
kepada keangkuhan perang.

Alangkah indahnya dunia
andai semua merenung
kekosongan hidup ini.

Ihsan Noorzali
Merindu Alam, 2008
Dewan Bahasa dan Pustaka

Aku

Tidak ada manusia lain
di pantai ini
kecuali diriku.

Kususur pasir panjang
sambil kubayangkan
aku ini Adam.

Hari inilah aku tercipta
dan pertama kali melihat
laut, langit, dan pohon.

Kelmarin aku belum ada
tidak terdengar olehku
bunyi ombak itu.

Tidak terasa olehku
sentuhan angin ini
bertiup di mana-mana.

Bahkan aku tidak tahu 
kulit kerang dan ru
pernah wujud di sini.

Tuhan
aku percaya Kau Pencipta
kerana aku baru ada.

Roli K. Matari
Dewan Sastera, Mac 2010
Dewan Bahawa dan Pustaka

Kunci Bahasa

Bahasa bermaruah
tidak berbilur bahasa di lidah.

Bahasa berbuah
tidak kering bahasa diperah.

Bahasa bersejarah
tidak luput bahasa bertingkah.

Bahasa berwasilah
tidak putus jambatan ukhuwah.

Bahasa berbudi sudah
tidak lokek pada ummah.

Bahasa begitu indah
tidak habis berbahasa bermadah.

Abdul Hadi Yusof
Pohon Tradisi, 2012
Gapeniaga Sdn. Bhd.

What are your feelings
Updated on May 15, 2022

What do you have to say ?

Leave a Reply

Your email address will not be published.