Hero Si Dara Bankrap oleh Lana Sophillea

Hero Si Dara Bankrap

Coretan Novel

Setelah diisytiharkan bankrap, kehidupan mewah yang pernah dilalui Ashfa Dianna atau Ash, kini hancur berkecai. Bebanan semakin bertambah apabila dia terpaksa menanggung hutang yang telah ditinggalkan oleh arwah papanya.

Hidup dalam keadaan rendah diri, Ash sembunyikan identiti. Mujurlah ada Kenji, bekas pemandunya yang sentiasa memberi sokongan moral dan semangat kepadanya. Tekad mahu melangsaikan hutang, Ash bekerja di AF Properties sebagai seorang Pembancuk Kopi.

“As a tea lady, tugas you adalah bancuhkan kopi atau teh untuk semua orang setiap hari.” – Aidan

Tanpa disedari, Aidan mula jatuh hati kepadanya. Malah CEO muda itu telah menjadikan Ash sebagai penterjemah bahasa Jepun memandangkan Ash mahir dalam bahasa itu. Di waktu yang sama, Ash juga dipertemukan dengan Mr. Tatsuya. Lelaki kacukan Jepun Melayu yang sudah lama menyimpan perasaannya terhadap Ash.

“Adakah bos benar-benar yakin dengan perasaan bos?” – Ash

“Tanpa keraguan lagi, I sangat yakin dengan perasaan I pada you.” – Ash

“Abang boleh dengar bisikan Ash, boleh baca fikiran Ash, boleh meneka reaksi di wajah Ash. Ringkasnya, abang boleh melihat semuanya melalui Ash.” – Tatsuya

Dua lelaki kaya berebutkan dirinya. Cuma dia sahaja yang perlu memilih. Siapa yang paling ikhlas menyayangi Ash? Aidan vs Tatsuya, tapi mengapa ada Kenji? Siapakah antara lelaki-lelaki kaya itu yang akan dijadikan batu loncatan untuk membebaskan dirinya dari status BANKRAP.

Tanggapan Daku

Ini bukan novel Melayu pertama yang pernah saya baca dan tidak mungkin juga novel yang terakhir. Sejak berada di bangku sekolah, saya sudah biasa dengan buku cerita bahasa Melayu seperti Siri Hadi, Lima Sekawan, Tingkatan Dua di Seri Melur, siri 3 Penyiasat dan akhirnya entah ke mana pergi semuanya buku yang menarik jalan ceritanya, beralih pula kepada buku terbitan Alaf 21.

Pada pendapat saya yang seposen ini, bagi pelajar yang hendak memperkukuh bahasa Melayu, memang tidak ada buku cerita atau novel yang boleh dijadikan pedoman. Contohnya novel ini, novel ini hanya untuk hiburan. Ayat yang bercampur dengan bahasa Inggeris yang tunggang-langgang, kalau dipakaiguna dalam kertas 1 SPM Bahasa Melayu, entah dapat markah yang serendah-rendahnya, tidak akan lulus juga.

Lagipun jalan cerita kebanyakan novel bahasa Melayu sangatlah sempit, adalah yang muflis, cinta tiga segi, tindakan yang sangat tidak patut seperti watak Kayla yang menarik rambut Ash sebab terlampau cemburu, Aidan yang memperalat Ash tetapi sebenarnya cinta akan Kayla, Ash yang buta tidak nampak Kenji di sisinya, dan akhirnya manis juga penghujungnya. Hampir semua novel atau rancangan televisyen Melayu berunsur sebegitu. Memang tidak dapat mengembangkan idea untuk yang hendak belajar mengarang.

Sekarang perkataan muflis juga tidak digunakan, bahasa Melayu yang indah sekarang lebih kepada penggunaan bahasa Inggeris yang dimelayukan. Sangat tidak patut, tapi apa boleh buat jika Dewan Bahasa dan Pustaka sudah tetapkan bahawa penggunaan perkataan baharu seperti itu dibenarkan. Dalam novel ini, penggunaan perkataan swafoto dapat dilihat. 

Memang saya sangat kecewa, sebabnya saya sudah banyak membaca buku bahasa Inggeris, jadi saya sangat berharap penulis di Malaysia dapat mengarang novel yang lebih luas jalan ceritanya, tetapi bukan terhimpit dengan watak yang asyik iri hati, sibuk mencari cinta atau tidak malu menggoda laki wanita lain. Remaja yang terlalu khusyuk dengan pembacaan novel sebegini, kalau terikut-ikut memang akan musnahkan kebahagiaan sendiri, runtuh akhlak dan rumahtangga orang lain.

Ini hanyalah pendapat saya. Sekiranya terdapat sesiapa yang tersinggung setelah membacanya, sila berfikiran terbuka sedikit dan syorkan saya novel Melayu yang tidak mempunyai unsur agama di dalamnya serta tidak mempunyai unsur yang merosakkan hubungan sesama manusia. Biar penulisannya positif dan sarat dengan ilmu pengetahuan.

What are your feelings
Updated on December 5, 2021

What do you have to say ?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Table of contents